HAIKOU, 16 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) mengetengahkan kerangka baharu bagi menilai masa depan pelabuhan dan pertumbuhan biru serantau dalam Forum Kumpulan Pemikir China (Hainan)-ASEAN 2026 (China (Hainan)-ASEAN 2026 Think Tank Forum) yang berlangsung di Haikou, China pada 16 dan 17 September 2026.

Forum bertemakan “Pembukaan Institusi dan Produktiviti Maritim Berkualiti Baharu: Memacu Penggerak Baharu bagi Kerjasama Ekonomi Biru China-ASEAN” (Institutional Opening-Up and New Quality Maritime Productive Forces: Forging New Drivers for China-ASEAN Blue Economic Cooperation) itu dianjurkan oleh Persekutuan Sains Sosial Wilayah Hainan / Akademi Sains Sosial Hainan, Institut Kebangsaan bagi Pengajian Laut China Selatan (NISCSS) dan Pusat Huayang.

UTM diwakili oleh Prof. Madya Eur Ing. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail dari MJIIT yang dijemput sebagai penceramah dalam sesi “Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan dan Kerjasama Ekonomi Biru China-ASEAN” (Hainan Free Trade Port and China-ASEAN Blue Economic Cooperation), bersama ahli akademik, penyelidik dasar dan pemimpin institusi dari China serta negara-negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Penceramah jemputan dari negara ASEAN dan China bergambar bersama selepas sesi “Hainan Free Trade Port and China-ASEAN Blue Economic Cooperation”

Dalam pembentangan bertajuk “Pelabuhan Masa Hadapan ≠ Pelabuhan Hijau: Persamaan Baharu bagi Pertumbuhan Biru China-ASEAN, Kerangka Kerja Strategik untuk Nilai Maritim Berfaktor Ganda” (Future Ports ≠ Green Ports: The New Equation for China-ASEAN Blue Growth, A Strategic Framework for Multiplicative Maritime Value), Dr. Syuhaida mencabar tanggapan konvensional bahawa sesebuah pelabuhan boleh dianggap bersedia menghadapi masa hadapan hanya kerana mempunyai pelepasan karbon rendah atau menggunakan teknologi pintar.

Beliau turut mengemukakan persoalan tentang kedudukan sebuah pelabuhan yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon melalui pendigitalan tetapi pada masa yang sama mengalami kemerosotan ekologi atau tidak mempunyai keterhubungan institusi dengan pelabuhan lain, namun masih dianggap mempunyai daya tahan dan kesediaan untuk masa hadapan.

Berdasarkan kajian tersebut, beliau mencadangkan Indeks Pertumbuhan Biru Pelabuhan Masa Depan (Future Port Blue Growth Index, FPBGI) yang mengalihkan penilaian pelabuhan daripada pendekatan indikator secara berasingan kepada satu sistem multiplikatif. Kerangka tersebut menghubungkan lima pemacu positif, iaitu keterbukaan institusi, inovasi, daya tahan, prestasi positif berkaitan alam semula jadi dan nilai bersama, manakala intensiti karbon serta tekanan ekologi bertindak sebagai penalti terhadap prestasi keseluruhan.

Prof. Madya Eur Ing. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail (dua dari kiri) membentangkan kerangka “Future Ports ≠ Green Ports: The New Equation for China-ASEAN Blue Growth, A Strategic Framework for Multiplicative Maritime Value” pada China (Hainan)-ASEAN 2026 Think Tank Forum

Pendekatan berkenaan bermaksud prestasi yang tinggi dalam satu dimensi tidak seharusnya menutupi kelemahan serius dalam dimensi yang lain. Sebagai contoh, pelabuhan yang mempunyai tahap pendigitalan tinggi tetapi kurang berdaya tahan, atau pelabuhan yang mencatatkan intensiti karbon rendah tetapi memindahkan tekanan alam sekitar ke luar sempadan terminal, tidak semestinya menghasilkan pertumbuhan biru yang berkualiti.

Sehubungan itu, Pelabuhan Perdagangan Bebas Hainan turut dicadangkan untuk dilihat bukan sekadar sebagai hab perdagangan, tetapi sebagai sebuah “makmal dasar” China-ASEAN bagi menguji model pelabuhan masa hadapan dalam keadaan sebenar. Pembentangan tersebut mencadangkan beberapa laluan pelaksanaan, termasuk pembangunan koridor biru yang saling beroperasi, ruang data pelabuhan biru China-ASEAN, penyelarasan peralihan tenaga dengan pembangunan industri, infrastruktur berasaskan alam semula jadi, daya tahan rangkaian serta mekanisme pembiayaan yang memberikan keutamaan kepada penciptaan nilai bersama.

Dalam kerangka berkenaan, Hainan dilihat berpotensi menjadi lokasi untuk menguji pendekatan baharu tersebut melalui pelaksanaan dan penilaian yang bersepadu.

Antara contoh yang diketengahkan ialah hubungan pelabuhan dan koridor ekonomi yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan di Malaysia dengan Guangxi Beibu sebagai asas kepada kerjasama China-ASEAN yang melangkaui hubungan perdagangan konvensional. Dalam kerangka yang dicadangkan, kerjasama pelabuhan masa hadapan perlu berkembang daripada model kerjasama antara pelabuhan kepada pembentukan ekosistem yang turut mengintegrasikan data, teknologi, tenaga, industri, biodiversiti, rantaian bekalan dan penciptaan nilai kepada komuniti.

Wakil negara ASEAN terpilih menyertai sesi Roundtable on Hainan-ASEAN Think Tank bagi membincangkan peluang kerjasama strategik China-ASEAN, termasuk antara institusi

Dalam pada itu, cabaran seterusnya bagi China dan ASEAN bukan lagi sekadar meningkatkan jumlah kargo yang bergerak melalui pelabuhan, tetapi turut menentukan kualiti nilai maritim yang diwujudkan daripada setiap unit pertumbuhan tersebut. Pendekatan masa hadapan perlu melihat pelabuhan sebagai satu sistem dengan teknologi pintar sebagai pemudah cara, pelabuhan hijau sebagai asas, daya tahan sebagai perlindungan, alam semula jadi sebagai modal, keterbukaan sebagai pengganda dan nilai bersama sebagai hasil yang diharapkan.

Selain Dr. Syuhaida, Malaysia turut diwakili oleh seorang Penyelidik Bersekutu dari Persatuan Persahabatan Malaysia-China yang bertindak sebagai moderator bagi sesi “Bentuk Baharu Industri Maritim China-ASEAN dan Pemupukan Tenaga Produktif Kualiti Baharu Maritim” (New Forms of China-ASEAN Maritime Industry and Cultivation of New Quality Maritime Productive Forces).

Penglibatan Malaysia diteruskan pada 17 September melalui Meja Bulat Forum Pemikir Hainan-ASEAN (Roundtable on Hainan-ASEAN Think Tank), iaitu sesi undangan khas yang menghimpunkan wakil terpilih bagi membincangkan laluan baharu untuk kerjasama strategik antara Hainan, China dan ASEAN. Program rasmi menetapkan sesi meja bulat tersebut sebagai sesi tertutup kepada wakil jemputan.

Dalam sesi berkenaan, Malaysia mengetengahkan potensi kerjasama yang lebih bersifat transdisiplin, khususnya keperluan menghubungkan kepakaran dasar dan hubungan antarabangsa dalam rangkaian kumpulan pemikir dengan keupayaan saintifik, kejuruteraan dan teknologi institusi seperti MJIIT.

Pendekatan tersebut berpotensi membuka ruang kepada kerjasama yang lebih berorientasikan hasil, termasuk penggunaan makmal bersama, penyelidikan biodiversiti marin dan pelabuhan, pemodelan tenaga dan pelepasan karbon, pembangunan kembar digital (digital twin), perkongsian data pelabuhan serta projek demonstrasi antara Hainan dan negara-negara ASEAN.

Wakil negara ASEAN bergambar selepas sesi terakhir Roundtable on Hainan-ASEAN Think Tank pada 17 September 2026

Penyertaan UTM dalam forum antarabangsa ini sekali gus memperlihatkan peranan universiti bukan sahaja sebagai penyedia ilmu akademik, tetapi juga sebagai rakan pemikiran dan teknologi dalam membentuk agenda serantau berkaitan ekonomi biru, peralihan tenaga, pelabuhan masa hadapan dan pembangunan maritim mampan.

MJIIT pula mempunyai kedudukan tersendiri untuk menyumbang kepada agenda berkenaan menerusi ekosistem kerjasama Malaysia-Jepun yang merangkumi lebih 30 universiti Jepun dalam Japanese University Consortium, lima agensi kerajaan dan lebih 45 syarikat multinasional Jepun.

Penglibatan tersebut membuka ruang kepada UTM dan MJIIT untuk terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menyumbang kepakaran dalam bidang kejuruteraan, teknologi, dasar dan inovasi bagi menyokong pembangunan maritim yang lebih bersepadu dan mampan di rantau China-ASEAN.

UTM Open Day