KUALA LUMPUR, 10 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), telah menganjurkan program “Community-Based Learning Programme: Sustainability in Action – Chemical Engineering for Primary School Students” di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 1 sebagai usaha memperkukuh minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kesedaran tentang kelestarian alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah.

Khidmat masyarakat ini dijalankan di bawah kursus SMJC 3293, Sains Bahan, dengan penasihat program iaitu Ts. Dr. Khairunnisa Mohd Paad dan Dr. Nurulbahiyah Ahmad Khairuddin, kedua-duanya pensyarah dari MJIIT, UTM.

Program yang berlangsung pada hari Rabu ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Pembelajaran Khidmat Komuniti Malaysia-Universiti untuk Masyarakat (SULAM) yang menggabungkan pembelajaran akademik di universiti dengan khidmat komuniti, dilaksanakan hasil kerjasama antara UTM dan SK Padang Tembak 1 bagi memberi pendedahan awal kepada murid mengenai aplikasi ilmu kejuruteraan kimia dalam kehidupan seharian.

Program ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Program, Yee Chin Hoong, pelajar Sarjana Muda Tahun 3, diikuti ucapan penghargaan daripada penasihat program, Ts. Dr. Khairunnisa Mohd Paad, kepada pihak SK Padang Tembak 1 atas kesudian menjalankan program SULAM bersama UTM.

Pengarah Program, Yee Chin Hoong, menyampaikan ucapan aluan semasa majlis pembukaan Community-Based Learning Programme: Sustainability in Action

Majlis perasmian disempurnakan oleh Guru Besar SK Padang Tembak 1, Mohd Fadly Abu Bakar, yang turut menzahirkan penghargaan kepada UTM atas kesudian menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak sekolah. Beliau memaklumkan bahawa SK Padang Tembak 1 mempunyai seramai 618 orang murid secara keseluruhan, dengan program pada hari tersebut memberi fokus kepada 257 orang murid Tahap 2, iaitu murid Tahun 4, 5 dan 6.

Guru Besar SK Padang Tembak 1, Mohd Fadly Abu Bakar, merasmikan program semasa majlis pembukaan

Program ini turut melibatkan 40 orang mahasiswa Tahun 3 Kejuruteraan Kimia Proses dan Alam Sekitar yang mengambil kursus SMJC 3293 Sains Bahan. Para mahasiswa berperanan sebagai fasilitator dengan mengendalikan pelbagai stesen aktiviti interaktif yang direka khas untuk murid. Pendekatan ini bukan sahaja membantu mahasiswa mengaplikasikan ilmu kejuruteraan dalam konteks dunia sebenar, malah mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan mereka sebagai bakal jurutera.

Sepanjang program berlangsung, murid-murid didedahkan kepada aktiviti amali yang menarik seperti pembuatan sabun melalui proses saponifikasi serta penghasilan bahan penjerap (adsorbent) menggunakan bahan buangan harian seperti kulit limau dan kulit telur. Aktiviti ini memberi peluang kepada murid untuk memahami konsep asas sains bahan dan tindak balas kimia secara praktikal dan menyeronokkan.

Melalui aktiviti pembuatan sabun, murid mempelajari bagaimana minyak yang biasanya dianggap bahan buangan boleh ditukar menjadi produk berguna melalui tindak balas kimia. Dalam aktiviti penghasilan bahan penjerap pula, murid diperkenalkan kepada konsep jerapan, iaitu proses menyingkirkan bahan pencemar daripada air menggunakan bahan semula jadi. Pendedahan ini membantu murid memahami bahawa sains bukan sekadar teori di dalam buku, malah mempunyai aplikasi besar dalam menangani isu alam sekitar.

Mahasiswa memberikan demonstrasi pembuatan sabun daripada minyak terpakai kepada murid SK Padang Tembak 1
Peserta memerhati perubahan warna air berwarna selepas dimasukkan bahan penjerap yang diperbuat daripada kulit limau

Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan penglibatan aktif murid di setiap stesen aktiviti. Murid dilihat teruja untuk bertanya soalan, menjalankan eksperimen serta meneroka konsep saintifik melalui pengalaman pembelajaran secara langsung. Kaedah pembelajaran berbentuk eksperimen ini didapati berkesan dalam meningkatkan pemahaman dan minat murid terhadap mata pelajaran Sains dan Matematik.

Program ini turut memberi impak positif dari sudut pembangunan sahsiah dan kesedaran kelestarian. Murid dididik untuk melihat sisa buangan seperti kulit telur dan kulit limau bukan sebagai sampah semata-mata, tetapi sebagai sumber yang boleh dimanfaatkan semula melalui inovasi sains, selari dengan tema program iaitu tindakan nyata ke arah kelestarian alam sekitar (Sustainability in Action).

Inisiatif ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti melalui penyampaian ilmu secara interaktif, SDG 9 berkaitan Industri, Inovasi dan Prasarana melalui penerapan elemen inovasi sains, serta SDG 12 berkaitan Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab melalui penggunaan semula bahan buangan.

Program ini turut menyumbang kepada usaha memperkukuh ekosistem pendidikan STEM negara, sejajar dengan aspirasi meningkatkan penyertaan murid dalam aliran STEM pada masa hadapan.

Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperluaskan pendedahan STEM dalam kalangan generasi muda serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah. Kerjasama erat antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah rendah seperti ini berpotensi melahirkan lebih ramai saintis, jurutera dan inovator masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kelestarian masyarakat dan alam sekitar. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pihak pengurusan sekolah, pensyarah, para mahasiswa serta murid-murid yang menjayakan program ini.

Sesi bergambar bersama penasihat program SULAM UTM dan mahasiswa selepas tamat program

 

Oleh Yee Chin Hong dan Ts. Dr. Khairunnisa Mohd Paad

Read more on UTM Newshub