KUALA LUMPUR, 23 Julai – Seramai 35 orang staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menyertai Kursus Pengenalan Asas HAZMAT dan Keselamatan Kebakaran yang berlangsung selama tiga hari, dari 21 hingga 23 Julai 2026, bagi memperkukuh kompetensi dalam pengurusan kecemasan, keselamatan kebakaran serta pengendalian bahan berbahaya.

Program anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), dengan kerjasama strategik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur itu telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju.

Penyertaan kursus melibatkan staf daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ), terdiri daripada 21 orang staf MJIIT, tujuh orang staf Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta tujuh orang staf Jabatan Pendaftar. Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran praktikal dan kesiapsiagaan warga universiti dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan, khususnya yang melibatkan kebakaran dan bahan berbahaya.

Sepanjang kursus, peserta mengikuti pelbagai modul teori dan latihan amali yang dikendalikan oleh pegawai serta jurulatih JBPM.

Antara modul yang disampaikan termasuk Sistem Keselamatan Kebakaran Aktif dan Pasif, Sains dan Tingkah Laku Api (Fire Behaviour and Fire Science), peranan Pasukan Tindak Balas Kecemasan (Emergency Response Team, ERT), tatacara pengungsian bangunan, latihan evakuasi, Table-top Exercise, pengenalan kepada bahan berbahaya (HAZMAT), serta ancaman CBRNe (Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives).

Peserta berpeluang memakai sut HAZMAT sebagai sebahagian daripada latihan pengendalian bahan berbahaya dan persediaan menghadapi ancaman CBRNe

Salah satu keunikan kursus ini ialah pendekatan pembelajaran berasaskan latihan amali yang membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan secara langsung.

Latihan tersebut merangkumi teknik pertolongan cemas, pemindahan mangsa menggunakan kerusi dan pengusung, teknik menyelamat tanpa peralatan, simulasi operasi dalam keadaan penglihatan terhad, latihan abseiling, pengendalian haiwan berbahaya serta pemakaian sut HAZMAT sebagai persediaan menghadapi insiden melibatkan bahan berbahaya.

Peserta mempelajari teknik pemindahan mangsa menggunakan pengusung (stretcher) sebagai sebahagian daripada latihan pengurusan kecemasan
Peserta menjalani simulasi operasi dalam keadaan penglihatan terhad menggunakan topeng gelap bagi melatih teknik pergerakan, komunikasi dan navigasi halangan dalam persekitaran berasap atau bertoksik di bawah bimbingan jurulatih JBPM
Latihan abseiling memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik menyelamat, di samping membina keyakinan, disiplin dan pematuhan terhadap prosedur keselamatan

Pendedahan ini memberi keyakinan kepada peserta untuk bertindak secara lebih sistematik, selamat dan berkesan sekiranya berhadapan dengan situasi kecemasan sebenar di kampus.

Selain aspek teknikal, peserta turut diberi pendedahan mengenai cabaran sebenar yang dihadapi anggota bomba ketika melaksanakan operasi menyelamat.

Antaranya termasuk implikasi panggilan kecemasan palsu yang boleh menjejaskan kecekapan operasi dan memberi kesan terhadap keselamatan nyawa sekiranya berlaku insiden sebenar. Perkongsian tersebut meningkatkan kesedaran peserta tentang pentingnya tanggungjawab masyarakat dalam menyokong perkhidmatan kecemasan negara.

Menurut Dekan MJIIT, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain, penganjuran latihan secara berterusan merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam membudayakan keselamatan di tempat kerja dan persekitaran pembelajaran.

“Latihan praktikal seperti ini penting bagi memastikan warga UTM bukan sahaja memahami aspek teori, malah mempunyai keyakinan dan kemahiran untuk bertindak secara berkesan sekiranya berhadapan dengan insiden kecemasan sebenar, khususnya yang melibatkan kebakaran dan bahan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan kompetensi warga universiti dalam aspek keselamatan merupakan elemen penting bagi menyokong penyampaian perkhidmatan, aktiviti penyelidikan dan pengajaran yang selamat, di samping memenuhi keperluan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Peserta bergambar bersama penganjur daripada Unit OSHE MJIIT dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selepas tamat Kursus Pengenalan Asas HAZMAT dan Keselamatan Kebakaran

Program diakhiri dengan majlis penyampaian cenderamata kepada pihak JBPM sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang kursus berlangsung, diikuti sesi fotografi bersama peserta serta jurulatih.

Secara keseluruhannya, penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh budaya keselamatan kampus melalui pembangunan kompetensi warga kerja, di samping mempererat kerjasama strategik dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam memperkasa pengurusan risiko serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan.

 

 

Oleh Shahirah Shamsulbahrin dan Amy Zuria Abdul Ajid

Read more on UTM Newshub