HULU LANGAT, 9 Sept. – Murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding berpeluang mempelajari kemahiran praktikal menerusi Bengkel Praktikal Penanaman Azolla dan Penternakan Ikan Tilapia yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa potensi murid berkeperluan khas.
Bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada Projek Penanaman Azolla dan Penternakan Mampan: Inisiatif Lestari Pemerkasaan Potensi dan Ekonomi Komuniti Pelajar Sekolah Kurang Upaya Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Dusun Nanding, Hulu Langat, yang dilaksanakan menerusi geran Program Pemindahan Ilmu (KTP) MRUN. Projek berkenaan diketuai Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menerusi bengkel berasaskan pengalaman itu, murid PPKI berpeluang mempelajari teknik penanaman Azolla sebelum mengaplikasikannya secara langsung dalam sistem Azolla Recirculating Aquaculture System (ARAS) yang dibangunkan khusus bagi projek berkenaan.
Aktiviti turut melibatkan pelepasan sebanyak 500 ekor anak ikan tilapia merah ke dalam tangki sistem ARAS, sekali gus memberikan pengalaman praktikal kepada murid dalam mengendalikan sistem yang menggabungkan elemen penanaman tumbuhan dan penternakan ikan.


Sepanjang bengkel berlangsung, murid turut menunjukkan minat dan keterujaan ketika mengikuti aktiviti yang dijalankan. Pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah itu memberi peluang kepada mereka untuk memperoleh pengalaman secara langsung melalui penglibatan dalam aktiviti berkaitan air, tumbuhan dan haiwan.
Selain memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza, aktiviti berkenaan turut menyokong usaha memperkenalkan kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan oleh murid dalam kehidupan seharian dan pada masa hadapan.
Bagi memastikan kelangsungan projek, sistem ARAS yang dibangunkan akan terus diselenggara dan dikendalikan oleh komuniti murid PPKI dengan pemantauan guru serta sokongan ibu bapa.

Mengulas penganjuran bengkel itu, Dr. Pauziah berkata, projek berkenaan memberi tumpuan kepada pendedahan kemahiran praktikal yang dapat membantu murid PPKI meneroka potensi diri serta meningkatkan keyakinan mereka.
“Projek ini dirancang khas untuk memberi ruang kepada murid-murid PPKI meneroka potensi diri mereka. Melalui aktiviti praktikal ini, kita berhasrat untuk mencungkil bakat, membina keyakinan diri, serta menyuntik kemahiran tambahan yang boleh dijadikan bekal untuk masa depan mereka kelak,” katanya.

Pada masa sama, pelaksanaan projek berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam merealisasikan pelan strategik UTM ASCEND 2030, khususnya menerusi teras keutamaan Humanity & Well-being dan Sustainability.
Melalui pemindahan ilmu dan teknologi yang mengutamakan kelestarian seperti sistem ARAS, kepakaran universiti dapat disalurkan kepada komuniti, termasuk golongan berkeperluan khas, menerusi pendekatan yang lebih praktikal dan bersesuaian dengan keperluan setempat.
Inisiatif berkenaan juga memperlihatkan bagaimana kepakaran dan inovasi universiti boleh diterapkan dalam komuniti bagi menyokong pembangunan kemahiran, pembelajaran berasaskan pengalaman serta usaha memperkasa potensi murid PPKI secara lebih inklusif.
Dengan penglibatan berterusan murid, guru dan ibu bapa, projek itu diharapkan dapat menjadi ruang pembelajaran yang menyokong penguasaan kemahiran praktikal serta memberikan manfaat berterusan kepada komuniti SMK Dusun Nanding.