SUBANG JAYA, 10 Sept. – Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama P10X Academy melancarkan Program Pemindahan Ilmu TVET Auto Aesthetics bagi memperkasa belia Orang Asli melalui latihan kemahiran berasaskan keperluan industri, penempatan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan.

Majlis perasmian program yang berlangsung di P10X Academy, Subang Jaya itu disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan), MJIIT, UTM, Prof. Ir. Ts. Dr. Wira Jazair Yahya. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi P10X Academy, Che Salwani Enche Mohd Noor; Ketua Projek, Dr. Nurul Zainab Along; wakil P10X Academy, rakan strategik serta peserta program.

Prof. Ir. Ts. Dr. Wira Jazair Yahya menyempurnakan perasmian Program TVET Auto Aesthetics Belia Orang Asli MJIIT–P10X Academy di Subang Jaya

Program yang berlangsung selama tujuh bulan itu menyediakan latihan teknikal dalam bidang auto aesthetics, meliputi pemasangan filem penapis haba automotif, Paint Protection Film (PPF), pembalutan kenderaan, penggilapan dan perincian kenderaan. Peserta turut diberikan pendedahan kepada aspek keselamatan bengkel, disiplin pekerjaan, komunikasi dengan pelanggan, pengurusan kos, pemasaran serta asas keusahawanan.

Berbeza daripada latihan jangka pendek yang memberi tumpuan kepada penganugerahan sijil, program ini dirangka sebagai laluan pembangunan ekonomi yang menghubungkan latihan kemahiran dengan penguasaan kompetensi industri, penempatan pekerjaan, peluang subkontrak, keusahawanan dan penjanaan pendapatan.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Wira berkata program berkenaan bukan sekadar latihan teknikal, sebaliknya diharapkan dapat menjadi titik perubahan dalam kehidupan peserta.

“Kita mahu tujuh bulan ini menjadi titik perubahan, daripada tidak mempunyai kemahiran khusus kepada mempunyai kemahiran industri, daripada hanya mencari peluang kepada mampu mencipta peluang, dan daripada sekadar mempunyai pekerjaan kepada suatu hari nanti mampu membina perniagaan serta menyediakan pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta yang mendaftar atau menerima sijil semata-mata. Sebaliknya, penilaian yang lebih bermakna turut merangkumi penguasaan kompetensi, penempatan pekerjaan, peningkatan pendapatan, pengekalan dalam pekerjaan serta keupayaan peserta membangunkan perniagaan sendiri.

Che Salwani menerangkan mengenai P10X Academy dan sasaran projek untuk tempoh lima tahun kepada Prof. Wira dan peserta belia Orang Asli

Program berkenaan turut meneruskan pencapaian kumpulan terdahulu yang melibatkan enam belia Orang Asli dari Kuala Pangsun, Hulu Langat. Kesemua peserta berjaya menamatkan latihan selama tujuh bulan di P10X Academy sebelum ditempatkan di bengkel berkaitan untuk memulakan kerjaya dalam industri automotif.

Pencapaian kumpulan terdahulu itu memperlihatkan potensi belia Orang Asli untuk menguasai kemahiran teknikal dan memasuki alam pekerjaan apabila diberikan akses kepada latihan, bimbingan serta laluan ke industri yang tersusun.

Sehubungan itu, Prof. Wira menegaskan bahawa peranan universiti tidak seharusnya terhad kepada penghasilan ilmu yang kekal dalam jurnal, makmal atau bilik kuliah. Sebaliknya, ilmu dan kepakaran universiti perlu diterjemahkan kepada manfaat serta perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat.

“Universiti mempunyai kekuatan dalam penyelidikan, pendidikan, pembangunan komuniti dan penilaian impak, manakala industri memahami teknologi, kemahiran serta kehendak sebenar pasaran. Apabila kekuatan ini digabungkan bersama-sama komuniti, kita dapat membentuk ekosistem yang menghubungkan kemahiran, peluang dan impak,” jelas beliau.

Program tersebut diketuai oleh Dr. Nurul Zainab Along dari MJIIT, UTM, yang turut dilantik oleh P10X Academy sebagai Ketua Projek Pemindahan Ilmu bagi tempoh 10 September 2026 hingga 9 September 2027.

Beliau bertanggungjawab mengetuai perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penilaian impak program, selain memperkukuh hubungan strategik antara UTM, P10X Academy, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), komuniti Orang Asli serta pihak berkepentingan lain.

Dari kiri, Pengurus Pembangunan Bisnes P10X Academy, Sarwani Sauti; Ketua Pegawai Operasi P10X Academy, Che Salwani Enche Mohd Noor; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan) MJIIT, Prof. Ir. Ts. Dr. Wira Jazair Yahya; ahli projek, Dr. Shahirah Abu Bakar; Ketua Projek, Dr. Nurul Zainab Along; dan rakan industri aksesori kereta Finnworkz, Khairil Anuar

Dalam pelaksanaannya, program turut mengambil kira latar belakang sosioekonomi, budaya dan keperluan peserta Orang Asli bagi memastikan latihan yang disediakan bersifat inklusif, relevan dengan keperluan peserta serta dapat menyokong usaha meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan.

Kerjasama berkenaan memperlihatkan usaha UTM dalam menjayakan pemindahan ilmu berimpak melalui hubungan universiti, industri, agensi dan komuniti. P10X Academy menyumbangkan kepakaran teknikal, kemudahan latihan serta jaringan industri, manakala MJIIT, UTM memperkukuh aspek penyelidikan, pembangunan komuniti, dokumentasi dan pengukuran impak sosial.

Dalam jangka panjang, program ini menyasarkan pembentukan pendekatan pemerkasaan belia Orang Asli yang berpotensi diperluas dan disesuaikan untuk pelaksanaan di komuniti lain. Penilaian program akan memberi perhatian kepada kadar tamat latihan, pencapaian kompetensi industri, penempatan dan pengekalan pekerjaan, perubahan pendapatan serta penglibatan peserta dalam bidang keusahawanan.

Program ini turut diharapkan dapat melahirkan peserta yang bukan sahaja mempunyai kemahiran teknikal, malah berpotensi berkembang sebagai usahawan, mentor dan jurulatih kepada generasi belia Orang Asli seterusnya.

Majlis diakhiri dengan perasmian Program TVET Auto Aesthetics Belia Orang Asli MJIIT–P10X Academy oleh Prof. Wira, sekali gus menandakan permulaan program latihan yang menghubungkan pembangunan kemahiran dengan peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam industri automotif.

UTM Open Day