PHILADELPHIA, 31 Julai – Dua ahli matematik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin dari Fakulti Sains, UTM Johor Bahru dan Dr. Shahirah Abu Bakar dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM Kuala Lumpur, menyertai Kongres Antarabangsa Ahli Matematik (ICM) 2026 yang berlangsung di Pennsylvania Convention Center, Philadelphia, Amerika Syarikat, dari 23 hingga 30 Julai 2026.
Kongres anjuran Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) itu merupakan antara perhimpunan matematik paling berprestij di dunia dan diadakan sekali setiap empat tahun, menghimpunkan ahli matematik, penyelidik serta pelajar dari seluruh dunia untuk berkongsi perkembangan penyelidikan terkini dan membina jaringan akademik antarabangsa.
Majlis perasmian ICM 2026 pada 23 Julai turut menyaksikan penyampaian Pingat Fields 2026, antara pengiktirafan tertinggi dalam bidang matematik yang sering disifatkan sebagai setara dengan Hadiah Nobel dalam bidang tersebut.
Empat ahli matematik yang menerima Pingat Fields 2026 ialah Yu Deng, John Pardon, Jacob Tsimerman dan Hong Wang, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta sumbangan luar biasa mereka dalam bidang masing-masing.

Bagi menjayakan kongres ini, lima ahli akademik Malaysia telah terpilih untuk menerima tajaan penuh daripada Yayasan Simons, Persatuan Matematik Amerika (AMS) dan IMU untuk menghadiri ICM 2026, iaitu Prof. Dr. Nor Haniza dan Dr. Shahirah mewakili UTM, Dr. Nur Syahirah Wahid dan Dr. Yow Kai Siong mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM), serta Ts. Dr. Nor Ain Azeany Mohd Nasir mewakili Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Pemilihan Philadelphia sebagai tuan rumah ICM 2026 turut bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-250 Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat. Sebagai bandar yang kaya dengan sejarah dan tradisi akademik, Philadelphia menjadi pentas penting bagi ribuan peserta bertukar idea, membentangkan penemuan baharu serta meneroka peluang kerjasama penyelidikan merentas negara.
Program ICM 2026 bermula pada 22 Julai menerusi World Meeting for Women in Mathematics, diikuti majlis makan malam pada malam yang sama. Majlis pembukaan pada 23 Julai di Pennsylvania Convention Center pula menghimpunkan 3,170 peserta.
Sepanjang lapan hari kongres, peserta berpeluang mengikuti syarahan umum dan sesi ilmiah yang disampaikan tokoh matematik terkemuka dunia, termasuk Terence Tao, penerima Pingat Fields; Shayan Oveis Gharan, penerima Pingat Abacus; Yurii Nesterov, penerima Hadiah Carl Friedrich Gauss; dan Graeme Segal, penerima Pingat Chern.
Penyertaan kedua-dua ahli akademik UTM turut diserikan dengan pembentangan hasil penyelidikan masing-masing. Prof. Dr. Nor Haniza membentangkan penyelidikan bertajuk Structure-Preserving Transformations: Recent Updates on the Homological Analysis of Bieberbach Groups dalam sesi pembentangan pada 25 Julai, manakala Dr. Shahirah membentangkan poster bertajuk AI-Driven Data Augmentation and Sensitivity Analysis of Radiative Bödewadt Ternary Nanofluid Flow over a Porous Rotating Disk with Multiple Slips pada 28 Julai.
Kedua-dua pembentangan membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta maklum balas daripada komuniti matematik antarabangsa, di samping menyerlahkan kepakaran dan hasil penyelidikan UTM di peringkat global.



Selain menyertai ICM 2026, kedua-dua ahli akademik UTM turut mengadakan lawatan akademik ke dua universiti Ivy League, iaitu University of Pennsylvania di Philadelphia dan Princeton University di New Jersey.
Lawatan berkenaan memberikan pendedahan kepada ekosistem penyelidikan bertaraf dunia, selain membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, mobiliti dan penyelidikan pada masa hadapan.
ICM 2026 melabuhkan tirainya menerusi majlis penutup pada 30 Julai 2026. Penyertaan Prof. Dr. Nor Haniza dan Dr. Shahirah bukan sahaja memperluas pengetahuan serta jaringan profesional mereka, malah turut memperkukuh keterlihatan UTM dalam komuniti matematik antarabangsa.
Pengalaman dan jaringan yang diperoleh sepanjang kongres itu diharapkan dapat diterjemahkan kepada kerjasama penyelidikan baharu, perkongsian ilmu serta pembangunan bakat matematik yang memberi manfaat kepada universiti, negara dan masyarakat global.

Oleh Dr. Shahirah Abu Bakar, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), dan Prof. Dr. Nor Haniza Sarmin, Fakulti Sains, UTM