KUALA LUMPUR, 20 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan pelaksanaan Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Komuniti Perca+: Memperkasakan Wanita B40 Bandar melalui Inovasi Ekonomi Kitaran Batik menerusi bengkel kedua yang berlangsung di Pusat Tuisyen PPR Blok E, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur.
Siri latihan ini merupakan kesinambungan kepada bengkel pertama yang telah memperkenalkan konsep ekonomi kitaran dan pemanfaatan semula kain perca batik. Bengkel kali ini memberi tumpuan kepada penghasilan produk “Si Comel”, iaitu rantai kunci anak patung bersaiz tapak tangan yang dihasilkan daripada kain perca batik.
Melalui modul ini, peserta didedahkan kepada teknik menghasilkan produk yang lebih halus, kreatif dan mempunyai potensi untuk dipasarkan sebagai produk kraftangan tempatan.

Bengkel telah dikendalikan oleh Rifqah Mohd Noor, usahawan berdaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, yang berkongsi teknik penghasilan produk bermula daripada penyediaan pola, pemilihan kombinasi fabrik, pembentukan karakter sehingga proses kemasan bagi memastikan setiap produk mempunyai nilai estetika dan memenuhi standard kualiti yang sesuai untuk pasaran.
Turut bersama menjayakan bengkel ialah Jafiqa Enterprise selaku rakan industri projek yang hadir bersama pembantu fasilitator bagi membimbing peserta secara individu sepanjang sesi amali. Jafiqa Enterprise turut membekalkan kain perca batik dari Perlis sebagai bahan utama latihan, sekali gus membolehkan peserta memanfaatkan lebihan tekstil batik tempatan menjadi produk bernilai tambah. Kerjasama erat antara UTM, industri dan komuniti ini memperkukuh ekosistem pemindahan ilmu yang menggabungkan kepakaran akademik dengan pengalaman praktikal industri.
Selain penghasilan produk, peserta turut mengikuti sesi fotografi produk yang dikendalikan oleh wakil Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Sesi ini memberi pendedahan kepada teknik asas menghasilkan gambar produk menggunakan telefon pintar, merangkumi aspek pencahayaan, komposisi, sudut penggambaran dan penyusunan latar bagi menghasilkan imej yang lebih menarik untuk tujuan promosi serta pemasaran melalui platform digital.
Berbanding siri latihan terdahulu, bengkel kali ini memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan apabila peserta lebih yakin mengendalikan bahan, memahami teknik jahitan halus serta menghasilkan produk dengan kemasan yang lebih kemas dan konsisten. Perkembangan ini menunjukkan keberkesanan latihan secara berperingkat dalam meningkatkan keyakinan dan kemahiran peserta sehingga mampu menghasilkan produk yang mempunyai identiti dan nilai komersial.

Bagi Nur Aina Najwa Sarip, 19, peserta termuda program, penyertaan dalam bengkel ini membuka perspektif baharu terhadap potensi ekonomi yang boleh diwujudkan melalui kreativiti.
“Sebelum menyertai program ini, saya tidak pernah terfikir bahawa kain perca boleh dijadikan produk yang begitu menarik dan mempunyai nilai jualan. Bengkel ini bukan sahaja mengajar saya kemahiran baharu, malah memberi keyakinan bahawa kreativiti juga boleh menjadi satu peluang untuk menjana pendapatan. Saya juga seronok apabila didedahkan dengan teknik mengambil gambar produk kerana ia penting untuk mempromosikan hasil kerja kami di media sosial,” katanya.
Projek KTP Komuniti PERCA+ bukan sahaja memberi penekanan kepada pemindahan kemahiran menghasilkan produk, malah turut melengkapkan peserta dengan pengetahuan berkaitan pembungkusan, penjenamaan dan promosi agar mereka bersedia membangunkan perusahaan mikro secara lebih mampan. Pendekatan menyeluruh ini diharap dapat membantu komuniti menjadikan ekonomi kitaran sebagai satu model penjanaan pendapatan yang berdaya saing.
Pelaksanaan projek ini turut mencerminkan aspirasi UTM ASCEND yang menekankan pemerkasaan komuniti melalui pemindahan ilmu, inovasi dan kolaborasi strategik antara universiti, industri dan masyarakat. Melalui inisiatif seperti PERCA+, kepakaran UTM diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak sebenar kepada komuniti, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan negara.
