HULU LANGAT, 13 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penganjuran program komuniti bertajuk STEM untuk MASA DEPAN: Eksplorasi Ilmu bersama Komuniti Orang Asli yang berlangsung di Balai Raya Kampung Orang Asli Kuala Pangsun, Hulu Langat.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Peningkatan STEM, TVET, Kesihatan dan Sosioekonomi Masyarakat Orang Asli yang dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai rakan strategik, termasuk Pusat Komuniti dan Jaringan Industri (CCIN), Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Kuala Lumpur Utara, serta rakan industri dan sosial iaitu SHE Empire Sdn. Bhd., NK Group Biotech Sdn. Bhd. dan TMK Industries Sdn. Bhd.

Program tersebut melibatkan kira-kira 10 orang pelajar sekolah daripada komuniti Orang Asli yang mengikuti pelbagai aktiviti pembelajaran STEM secara interaktif menerusi pendekatan amali (hands-on), demonstrasi, perbincangan berkumpulan dan pembelajaran rakan sebaya.

Seramai tujuh orang ahli akademik UTM daripada MJIIT bertindak sebagai fasilitator sepanjang program, diketuai oleh Ketua Subprojek, Dr. Nabilah Zaini, bersama ahli projek iaitu Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin, Ts. Dr. Mohd. Fitri Mohd. Yakub, Dr. Liew Wai Loan, Dr. Muhammad Hisyam Rosle, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dan Dr. Hafizah Farhah Saipan.

Bagi menyokong proses pembelajaran yang lebih menarik dan mudah difahami, tiga kit pembelajaran STEM telah dibangunkan sebagai medium utama aktiviti, iaitu SolarHOME, AquaCLEAN dan SMARTFly.

Kit SolarHOME memperkenalkan konsep tenaga solar serta aplikasi penjimatan tenaga dalam kehidupan seharian. AquaCLEAN pula memberi pendedahan kepada peserta mengenai proses penulenan air dan kepentingan menjaga kualiti sumber air, manakala SMARTFly membantu pelajar memahami asas penerbangan, teknologi dron dan reka bentuk kejuruteraan melalui pendekatan yang mudah serta interaktif.

Ts. Dr. Mohd. Fitri Mohd. Yakub membimbing peserta membina kit pembelajaran SolarHOME

Antara pengisian utama program ialah pelaksanaan pendekatan Peer-Teaching, iaitu seorang peserta yang telah menguasai sesuatu kit STEM bertindak sebagai “pakar kecil” untuk menerangkan semula konsep yang dipelajari kepada rakan lain. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan kefahaman peserta terhadap konsep STEM, malah membantu meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Peserta menguji keberkesanan kit AquaCLEAN bagi memahami proses penulenan air
Peserta menguji keseimbangan model dron menerusi kit SMARTFly
Peserta menjalankan demonstrasi penggunaan kit SolarHOME sebagai aplikasi tenaga solar dalam kehidupan harian

Program ini turut memperkenalkan Modul M.A.S.A. D.E.P.A.N. sebagai kerangka pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah yang membimbing peserta mengenal pasti isu, membina andaian, mencadangkan penyelesaian, mengaplikasikan konsep STEM, menjalankan demonstrasi, menguji dapatan, menganalisis impak serta berkongsi ilmu bersama komuniti.

Selain aktiviti pembelajaran, sesi temu bual turut dijalankan bagi mendapatkan maklum balas peserta terhadap pengalaman sepanjang program. Dapatan tersebut akan digunakan sebagai asas untuk menilai keberkesanan program serta menambah baik pelaksanaan aktiviti pemindahan ilmu pada masa hadapan.

Dr. Liew Wai Loan mendapatkan maklum balas peserta mengenai kit AquaCLEAN bagi menilai keberkesanan aktiviti pembelajaran

Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama peserta, fasilitator dan komuniti setempat yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA), Roslan Asoi. Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui pelaksanaan pendidikan STEM yang inklusif, praktikal dan berimpak, khususnya dalam memperkasa komuniti Orang Asli.

Melalui inisiatif ini, UTM berharap minat generasi muda Orang Asli terhadap bidang STEM dapat terus dipupuk, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk melihat ilmu sains dan teknologi sebagai medium menyelesaikan cabaran kehidupan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pada masa hadapan.

Read more on UTM Newshub