KUALA LUMPUR, 1 Julai – Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Taklimat Pra-Pelepasan Program Sangkutan Pelajar Sarjana Muda MJIIT 2026 sebagai persediaan menyeluruh kepada pelajar yang bakal mengikuti latihan industri dan program penyelidikan di Jepun serta beberapa institusi pengajian tinggi dan organisasi industri terkemuka di luar negara.
Program yang berlangsung di Bilik Seminar 2, MJIIT itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar berkaitan aspek akademik, penyelidikan, budaya, keselamatan, pengurusan perjalanan serta tanggungjawab sebagai wakil UTM sepanjang menjalani pengalaman antarabangsa.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha MJIIT dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan universiti melalui pemerkasaan mobiliti pelajar serta penyediaan pengalaman pembelajaran dalam persekitaran global.


Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Dekan MJIIT, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain; Timbalan Dekan (Akademik dan Pembangunan Mahasiswa), Prof. Madya Dr. Roshafima Rasit Ali; serta wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Hafiz Othman.
Kehadiran barisan pengurusan dan wakil strategik tersebut memberikan sokongan serta suntikan semangat kepada para pelajar sebelum memulakan perjalanan akademik dan profesional di luar negara.
Program sangkutan antarabangsa MJIIT memberi peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan industri dan penyelidikan dalam persekitaran global, sekali gus memperkukuh kompetensi teknikal, kemahiran profesional serta kebolehsuaian terhadap perbezaan budaya.
Dalam sesi tersebut, pihak pengurusan MJIIT menegaskan bahawa para pelajar bukan sahaja membawa nama institusi, malah berperanan sebagai duta UTM yang mencerminkan nilai, identiti dan kecemerlangan universiti di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, para pelajar disaran memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan dengan mempertingkatkan kompetensi profesional, membina jaringan antarabangsa serta menghayati budaya kerja global. Pengalaman tersebut diyakini mampu menyumbang kepada pembangunan graduan yang berdaya saing dan selari dengan aspirasi UTM dalam melahirkan bakat global.

Sebagai kesinambungan kepada persediaan tersebut, Ketua Latihan Industri MJIIT, Dr. Khairunnisa Mohd Pa’ad bersama penyelaras latihan industri, Dr. Nur Zalikha Khalil dan Dr. Siti Rahmah Aid, turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi mengiringi pelepasan kumpulan pelajar ke Jepun serta beberapa destinasi antarabangsa lain.
Program ini diselaraskan oleh Jawatankuasa Latihan Industri MJIIT yang diketuai oleh Dr. Khairunnisa Mohd Pa’ad dengan kerjasama Dr. Nur Afiqah Suzelan Amir, Dr. Nur Hanis Azhan, Ts. Dr. Wan Imaan Izhan Wan Iskandar Mirza, Dr. Nur Zalikha Khalil, Dr. Nurshafinaz Mohd Maruai, Dr. Siti Rahmah Aid dan Ts. Dr. Nur Liyana Adilla, dengan sokongan penuh pihak pengurusan MJIIT.
Kerjasama erat semua pihak berjaya memastikan pelaksanaan program berjalan lancar serta memenuhi objektif dalam menyediakan pelajar menghadapi pengalaman pembelajaran, penyelidikan dan latihan industri di peringkat antarabangsa.
