Dalam beberapa dekad yang lalu, prestasi sesebuah robot sering diukur melalui ketepatan pergerakan, kelajuan operasi dan keupayaan mengulangi tugasan secara konsisten. Di kilang pembuatan, robot industri mampu mengangkat, memasang, mengimpal dan menyusun komponen dengan cekap kerana persekitarannya terkawal. Kedudukan objek, urutan kerja dan bentuk komponen biasanya telah ditetapkan dengan jelas.
Namun, cabaran robotik masa hadapan tidak lagi terhad kepada pergerakan yang tepat. Robot perlu berfungsi dalam persekitaran sebenar yang lebih kompleks, berubah-ubah dan sukar dijangka. Objek boleh tergelincir, berubah bentuk, berpindah kedudukan atau rosak jika disentuh dengan daya yang tidak sesuai.
Dalam keadaan ini, robot bukan sahaja perlu mengetahui ke mana hendak bergerak, tetapi juga bagaimana hendak menyentuh, memegang dan menyesuaikan daya semasa berinteraksi dengan objek.
Di sinilah munculnya kepentingan kecerdasan sentuhan atau contact intelligence. Kecerdasan sentuhan merujuk kepada keupayaan robot untuk membentuk, mengekalkan dan menyesuaikan interaksi fizikal dengan objek. Ia melibatkan kefahaman terhadap tindakan daya, tekanan, geseran, ubah bentuk, gelinciran dan kestabilan sentuhan. Secara mudah, ia ialah keupayaan robot untuk memahami dan menganalisis perkara yang akan berlaku selepas sentuhan dilakukan.
Sebagai contoh, tugasan memegang kotak keras berbeza daripada memegang kain, kabel, buah-buahan, telur atau belon. Objek keras lebih mudah dikawal kerana bentuknya stabil. Sebaliknya, objek lembut dan fleksibel berubah bentuk apabila disentuh. Jika daya terlalu kuat, objek mungkin rosak. Jika daya terlalu lemah, objek mungkin terlepas. Robot perlu mencari keseimbangan antara genggaman yang cukup kuat dan sentuhan yang cukup lembut.
Manusia melakukan perkara ini secara semula jadi. Apabila kita memegang gelas, melipat pakaian, mengikat tali atau mengambil telur, tangan kita sentiasa menyesuaikan daya tanpa perlu berfikir secara mendalam. Kita boleh merasai sama ada objek sedang tergelincir, terlalu rapuh atau memerlukan genggaman yang lebih stabil. Bagi robot, keupayaan seperti ini masih menjadi cabaran besar kerana sentuhan melibatkan interaksi fizikal yang berubah dalam masa nyata.
Contoh yang menarik ialah demonstrasi oleh syarikat AGILINK dalam Persidangan Antarabangsa Robotik dan Automasi (ICRA) 2026 di Vienna, apabila dua tangan robot berjaya membentuk seekor anjing daripada belon. Tugasan ini sangat mencabar bagi robot kerana belon bersifat ringan, licin, mudah berubah bentuk dan sensitif terhadap daya. Robot perlu mengawal sentuhan secara tepat agar belon tidak tergelincir atau pecah.
Untuk membentuk belon, robot dilatih melalui demonstrasi manusia sebenar, termasuk artis belon profesional, serta menggunakan pembelajaran pengukuhan bagi memperbaiki prestasinya. Demonstrasi ini menunjukkan bahawa kejayaan manipulasi objek bukan sahaja bergantung kepada pergerakan yang tepat, tetapi juga kepada kecerdasan sentuhan yang mampu menyesuaikan interaksi fizikal secara berterusan.
Perkembangan ini turut disokong oleh kemajuan perkakasan robotik dan teknologi penderiaan. Untuk mencapai kecerdasan sentuhan yang berkesan, robot memerlukan gabungan reka bentuk mekanikal yang sesuai, penderia sentuhan berketepatan tinggi serta algoritma kawalan yang mampu memproses maklumat secara masa nyata. Penderia sentuhan yang dipasang pada jari atau permukaan tangan robot dapat mengesan tekanan, daya, geseran dan perubahan sentuhan semasa interaksi berlaku.
Data ini kemudiannya dianalisis menggunakan teknik kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin bagi membolehkan robot mengenal pasti keadaan objek, mengesan gelinciran serta menyesuaikan daya genggaman mengikut keperluan. Gabungan antara perkakasan yang sensitif dan perisian yang pintar menjadi asas penting dalam membangunkan robot yang mampu berinteraksi dengan objek secara lebih semula jadi dan selamat.
Keupayaan seperti ini amat penting kerana banyak tugasan dalam dunia sebenar yang masih sukar diautomasikan melibatkan sentuhan yang tidak stabil, antaranya mengoperasikan kabel, membungkus bahan fleksibel, memasang penyambung kecil, memegang objek licin dan mengurus komponen yang rapuh. Cabaran utama bukanlah disebabkan robot tidak mampu mencapai kedudukan yang betul, tetapi kerana robot masih sukar mengekalkan interaksi fizikal yang stabil selepas sentuhan dilakukan.
Kecerdasan sentuhan mempunyai potensi besar dalam sektor pembuatan, kesihatan, logistik dan kehidupan harian. Dalam industri elektronik, robot yang peka terhadap sentuhan boleh membantu mengendalikan papan litar bercetak, komponen kecil dan produk rapuh dengan lebih selamat. Dalam bidang kesihatan pula, robot rehabilitasi, peranti bantuan fizikal dan robot penjagaan memerlukan kawalan sentuhan yang lembut dan sensitif apabila berinteraksi dengan anggota manusia.
Dalam konteks pembangunan robotik di Malaysia, konsep ini membuka ruang penyelidikan rentas disiplin yang luas. Kecerdasan sentuhan menggabungkan mekanik, elektronik, penderiaan, kecerdasan buatan, kawalan automatik dan reka bentuk sistem. Penyelidik bukan sahaja perlu memahami bagaimana robot bergerak, tetapi juga bagaimana robot merasai, menilai dan menyesuaikan tindakannya terhadap dunia fizikal.
Masa depan robotik tidak hanya bergantung kepada robot yang lebih kuat, lebih pantas atau lebih tepat, sebaliknya juga kepada robot yang lebih peka terhadap sentuhan dan lebih mampu menyesuaikan diri dalam keadaan sebenar. Dalam dunia automasi pintar, sentuhan bukan lagi sekadar tindakan mekanikal, tetapi menjadi asas kepada generasi baharu robot yang lebih selamat, fleksibel dan responsif terhadap keperluan manusia.
Nota: Demonstrasi robot membentuk anjing belon boleh dilihat di pautan berikut: https://www.youtube.com/watch?v=eoGcFGwQNkw