JOHOR BAHRU, 4 Feb – Dalam usaha mengorak langkah membentuk institusi moden bertaraf dunia yang berteraskan ilmu, kebijaksanaan dan etika, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Wacana Intelektual MADANI Siri 1/2026. Program anjuran bersama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dan Majlis Profesor UTM ini bertujuan mendalami falsafah serta matlamat pembinaan semula Baitul Hikmah dalam era kecerdasan buatan.

Barisan panelis dan moderator Wacana Intelektual MADANI Siri 1/2026 yang membincangkan pembinaan semula Baitul Hikmah dalam era kecerdasan buatan

Wacana yang berlangsung di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim itu menampilkan dua panelis pakar, iaitu Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman, Dekan FSSH, dan Prof. Dr. Tatiana Denisova, Profesor Pusat Kajian Tinggi Islam Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), manakala Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Abu @ Husin, Timbalan Dekan FSSH, bertindak sebagai moderator. Perbincangan menekankan kepentingan Baitul Hikmah sebagai tanda aras ekosistem ilmu yang wajar dijadikan panduan dalam membina kesarjanaan masa hadapan UTM, selaras dengan aspirasi universiti untuk membentuk masyarakat bertamadun.

Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi Abu @ Husin selaku moderator mengendalikan sesi wacana dan merumus perbincangan antara panelis serta peserta

Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman mengupas makna Hikmah dengan menelusuri asal-usul konsep kebijaksanaan dalam tradisi keilmuan. Beliau menjelaskan bahawa istilah philosophy daripada bahasa Yunani, yang membawa maksud cinta akan kebijaksanaan, menggambarkan pencarian ilmu yang berteraskan kebenaran. Hikmah dihuraikan sebagai ketepatan memahami kebenaran melalui ilmu dan akal, seterusnya membawa manusia kepada pencarian al-Haq sebagai teras falsafah ilmu. Beliau turut menekankan bahawa hikmah ialah anugerah besar yang mengangkat martabat insan apabila ilmu dimanfaatkan secara benar dan beradab.

Prof. Dr. Arieff Salleh Rosman menghuraikan konsep Hikmah sebagai teras pembinaan tradisi keilmuan beradab

Menurut Prof. Dr. Tatiana Denisova, Baitul Hikmah merupakan institusi kemasyarakatan yang berkembang pesat pada zaman Abbasiyah dan berjaya menginstitusikan ilmu sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Bermula dengan usaha Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur menjadikan istananya sebagai pusat simpanan buku, tradisi ini diteruskan oleh Khalifah Harun Ar-Rashid dan diperkembangkan secara sistematik oleh Khalifah Al-Ma’mun. Pada era tersebut, Baghdad muncul sebagai pusat pengumpulan, penterjemahan dan pengembangan karya ilmiah dari seluruh dunia. Institusi ini bukan sekadar mengumpul ilmu, malah menganalisis dan merumus semula pengetahuan sehingga melahirkan hikmah. Tokoh agung seperti Al-Khawarizmi, Al-Biruni dan Ibnu Sina berkembang dalam persekitaran intelektual yang subur hasil ekosistem Baitul Hikmah.

Prof. Dr. Tatiana Denisova menjelaskan peranan sejarah Baitul Hikmah sebagai model ekosistem ilmu yang bersepadu

Perbincangan turut menekankan kepentingan adab sebelum ilmu. Krisis besar dunia moden disifatkan bukan sebagai krisis maklumat, tetapi krisis adab terhadap ilmu. Prof. Dr. Arieff menjelaskan bahawa adab bermula dengan adab kepada Allah dan ilmu yang benar ialah ilmu yang mendekatkan manusia kepada-Nya. Dalam konteks pendidikan, tradisi Baitul Hikmah menekankan penguasaan ilmu fardu ain sebagai teras sebelum pengkhususan dalam ilmu fardu kifayah. Pendekatan ini memastikan ilmuwan memiliki asas akidah, fiqh dan akhlak yang kukuh sebelum mendalami bidang sains dan teknologi.

Dalam menyentuh peranan kecerdasan buatan, Prof. Dr. Tatiana Denisova membangkitkan persoalan tentang batas kemampuan mesin berbanding akal manusia. Beliau menegaskan bahawa kecerdasan buatan tidak memiliki keupayaan merumus makna sebagaimana manusia yang dikurniakan akal dan kesedaran. Prof. Dr. Arieff menambah bahawa keseimbangan antara akal dan hati amat penting dalam melahirkan insan berilmu yang seimbang, sebagaimana digambarkan melalui konsep Ulul Albab yang sentiasa berfikir dan mengingati Tuhan.

Sejajar dengan cabaran ini, UTM mengangkat adab sebagai nilai utama teras universiti di dalam pelan strategiknya yang dikenali sebagai UTM ASCEND 2030. Langkah ini dilihat amat penting khususnya dalam era penggunaan kecerdasan buatan yang semakin meluas. Tanpa adab, teknologi berpotensi disalah guna dan membawa kemudaratan. Penerapan adab melibatkan seluruh warga universiti, termasuk cara pensyarah berinteraksi dengan pelajar serta budaya saling menghormati dalam persekitaran akademik.

Peserta wacana bersama panel di dalam Dewan Senat Ainuddin Wahid bagi mengikuti perbincangan tentang hubungan ilmu, adab dan kecerdasan buatan

Wacana ini menyeru agar semangat Baitul Hikmah yang membina tradisi keilmuan berasaskan pendekatan interdisipliner dan adab yang tinggi dapat dihidupkan semula. Sejarah tamadun Islam, termasuk kewujudan institusi seperti Universiti Al-Qarawiyyin yang diiktiraf sebagai antara institusi pendidikan tertua di dunia, membuktikan bahawa ekosistem ilmu yang berteraskan hikmah mampu melahirkan masyarakat bertamadun dan berdaya saing.

Pembinaan semula semangat Baitul Hikmah dalam era kecerdasan buatan menuntut keseimbangan antara kemajuan teknologi dan penghayatan falsafah ilmu. Dengan pengukuhan teras fardu ain serta pengamalan adab dalam seluruh ekosistem akademik, usaha ini diyakini mampu melahirkan ilmuwan yang bukan sahaja pakar dalam bidang masing-masing, malah memiliki kebijaksanaan dan tanggungjawab moral dalam memanfaatkan ilmu demi kesejahteraan manusia sejagat.

Read more on UTM Newshub