JOHOR BAHRU, 1 Feb – Kontinjen catur para Malaysia mencatat pencapaian bermakna apabila kembali menempatkan diri di podium dengan meraih pingat gangsa di Sukan Para ASEAN 2025, sekali gus menamatkan penantian hampir lapan tahun sejak kejayaan terakhir pada edisi 2017. Pertandingan berlangsung di Nakhon Ratchasima Rajabhat University, Thailand dari 21 hingga 25 Januari 2026, menghimpunkan atlet terbaik rantau ini dalam pelbagai kategori catur para.
Kejayaan ini dicapai di bawah kepimpinan Prof. Madya Ir. Dr. Nasrul Humaimi Mahmood, pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang berperanan sebagai pengurus pasukan dan jurulatih, selain memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Catur OKU Malaysia. Penglibatan beliau mencerminkan peranan kepakaran UTM dalam pasukan kebangsaan, bukan sekadar sumbangan individu, malah sebagai representasi kepimpinan akademik universiti di pentas sukan para negara. Beliau sebelum ini turut menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat universiti, negeri dan kebangsaan termasuk Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan Citra Karisma UTM 2025 atas sumbangan berterusan dalam pembangunan catur UTM, catur para dan kepimpinan komuniti OKU.

Pingat gangsa Malaysia disumbangkan oleh Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil dan Nur Izzati Zakaria dalam acara B2/B3 wanita hasil persediaan rapi, disiplin latihan serta kerjasama erat antara atlet, jurulatih dan pengurusan pasukan. Menurut Dr. Nasrul, kejayaan ini terhasil daripada dedikasi bersama semua pihak termasuk Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Pencapaian ini merupakan pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang sekali gus mencerminkan sumbangan UTM kepada pembangunan sukan para negara.

Kejayaan ini juga merupakan kesinambungan usaha berterusan beliau dalam memartabatkan sukan catur para melalui projek pembangunan dan pemerkasaan catur OKU yang menerima penarafan lima bintang bagi pemindahan ilmu daripada Centre for Community and Industry Network (CCIN), UTM. Inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada latihan berstruktur, pembangunan bakat atlet OKU serta pengukuhan ekosistem catur para di peringkat akar umbi secara mampan dan inklusif.
Pencapaian ini membuktikan bahawa staf akademik UTM mampu memberi impak signifikan di luar bilik kuliah melalui pemindahan ilmu, kepimpinan akademik dan pembangunan komuniti. Kejayaan di pentas antarabangsa ini memperlihatkan bagaimana kepakaran universiti dapat diterjemahkan kepada manfaat masyarakat, selaras dengan komitmen UTM terhadap keterangkuman, kesejahteraan sosial dan pemerkasaan bakat OKU.
Pencapaian ini turut menjadi pemangkin kepada persiapan seterusnya menjelang ASEAN Para Games 2027, di mana Malaysia bakal menjadi tuan rumah. Fokus akan diberikan kepada pengukuhan program latihan, pembangunan atlet pelapis serta peningkatan daya saing pasukan negara. Kejayaan ini bukan sahaja pengiktirafan di pentas ASEAN, malah menjadi bukti bahawa kepimpinan, dedikasi dan kerja berpasukan mampu menghasilkan impak nyata selari dengan semangat “UTM Kerana Tuhan Untuk Manusia”.
