HULU LANGAT, 21 Jan – Pasukan projek di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu atau Knowledge Transfer Programme, Malaysian Research University Network (MRUN) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan sesi perbincangan dan lawatan tapak ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, Hulu Langat.

Lawatan tersebut diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad selaku Ketua Projek geran bertajuk Penanaman Azolla dan Penternakan Mampan Inisiatif Lestari Pemerkasaan Potensi dan Ekonomi Komuniti Pelajar Sekolah Kurang Upaya Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Dusun Nanding Hulu Langat. Turut serta dalam lawatan ini ialah ahli projek, iaitu Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri, Dr. Nabilah Zaini, Hairul Lail Ismail, Siti Norasikin Sharip dan Vikneshvaran Tanabalam.

Ketibaan pasukan UTM disambut oleh Rozman Ab Kadir, Pengetua SMK Dusun Nanding, yang merakamkan penghargaan atas pemilihan sekolah tersebut sebagai lokasi pelaksanaan projek berimpak tinggi yang menyokong pendidikan inklusif dan pembangunan komuniti.

Rozman Ab Kadir, Pengetua SMK Dusun Nanding, mengalu-alukan ketibaan pasukan UTM

Seterusnya, sesi pengenalan projek penanaman Azolla dan penternakan ikan tilapia telah disampaikan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad. Beliau menjelaskan bahawa projek ini akan dilaksanakan bagi tempoh satu setengah tahun dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan kemahiran murid PPKI, serta pendedahan awal kepada konsep ekonomi mikro melalui pendekatan pembelajaran berasaskan amali. Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan kebolehupayaan hidup murid PPKI selepas mereka menamatkan persekolahan pada usia 19 tahun.

Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad menyampaikan pengenalan projek penanaman Azolla dan penternakan ikan tilapia

Projek ini mengintegrasikan teknologi penanaman Azolla dan penternakan ikan tilapia secara inovatif dan lestari, selaras dengan pendekatan pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti sekolah. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong pembangunan kemahiran vokasional murid PPKI, malah membuka ruang kepada pemahaman asas keusahawanan dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.

Lawatan tapak kemudiannya diteruskan dengan tinjauan ke beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan projek. Tinjauan ini bertujuan menilai kesesuaian tapak, keperluan infrastruktur serta perancangan pelaksanaan projek secara menyeluruh dan sistematik.

Hairul Lail Ismail melakukan pengukuran kawasan dan menilai kesesuaian tapak pelaksanaan projek

Selain itu, pasukan projek turut berkesempatan melawat beberapa kelas Program Pendidikan Khas Integrasi bagi melihat secara langsung aktiviti pembelajaran dan kemahiran yang dijalankan oleh murid. Lawatan ini memberi pendedahan awal kepada pasukan projek mengenai potensi, kebolehan dan keperluan murid PPKI, sekali gus membantu penyesuaian reka bentuk aktiviti projek agar lebih inklusif, praktikal dan bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Antara murid Program Pendidikan Khas Integrasi di SMK Dusun Nanding

Projek ini turut mendapat kerjasama erat daripada guru-guru PPKI SMK Dusun Nanding, iaitu Suhaila Tarmizi dan Yuslin Amani Yusoff, yang akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dan pemantauan aktiviti projek. SMK Dusun Nanding bakal menjadi projek komuniti kedua yang menerima pemindahan ilmu dan teknologi berkaitan Azolla selepas kejayaan pelaksanaan projek pertama di Sekolah Kebangsaan Taman Kepong di bawah geran UniMADANI.

Secara keseluruhan, sesi perbincangan dan lawatan tapak ini menjadi asas penting kepada fasa pelaksanaan projek yang seterusnya. Projek akan diteruskan dengan penyediaan pelan tindakan terperinci, pembinaan sistem penanaman Azolla dan penternakan ikan tilapia, pembangunan modul latihan serta pelaksanaan aktiviti bersama murid PPKI. Inisiatif ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Sesuai dan Pembangunan Ekonomi) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan pemerkasaan komuniti melalui pemindahan ilmu.

Read more on UTM Newshub