Sistem pendidikan di Jepun sering menjadi penanda aras global kerana keupayaannya melahirkan modal insan yang mempunyai integriti dan disiplin yang tinggi. Keunikan ini berakar umbi daripada falsafah pendidikan awal mereka yang sangat mementingkan pembentukan jati diri sebelum aspek akademik diutamakan.

Sistem Pendidikan Awal dan Persekolahan di Jepun (Sumber: Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun (MEXT))

Merujuk rajah di atas, fasa awal pendidikan kanak-kanak Jepun bermula dari lahir, di mana kanak-kanak ini boleh memasuki Taska atau Hoikuen (ほいくえん) yang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan watak, tanggungjawab sosial, dan kemahiran hidup asas. Setelah asas sahsiah ini kukuh, barulah elemen kognitif diperkenalkan secara berperingkat di Tadika atau Yōchien (ようちえン), pada peringkat umur bermula 3 hingga 6 tahun. Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap kanak-kanak mempunyai akar moral yang kuat sebelum menghadapi cabaran akademik yang lebih kompleks.

Teras utama dalam pendidikan awal kanak-kanak di Jepun didukung oleh tiga falsafah penting. Pertama adalah pembangunan karakter yang memfokuskan nilai moral, empati, dan sikap menghormati di mana pencapaian akademik dianggap sebagai perkara sekunder. Kedua adalah penerapan sifat berdikari dan tanggungjawab, di mana murid diwajibkan menguruskan makanan dan membersihkan bilik darjah bagi memupuk rasa kepunyaan terhadap persekitaran mereka. Ketiga adalah penggunaan pedagogi Mimamoru (みまもる), iaitu kaedah di mana guru memerhati secara dekat tetapi memberi ruang kepada murid untuk mencuba dan belajar daripada kesilapan tanpa campur tangan yang keterlaluan. Strategi ini secara tidak langsung menggalakkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah pada usia yang lebih awal.

Apabila memasuki alam persekolahan formal bermula umur 6 tahun, Jepun mengamalkan struktur 6-3-3 yang merangkumi enam tahun di Sekolah Rendah (Elementary Schools), disusuli tiga tahun di Sekolah Menengah Rendah (Lower Secondary Schools) yang juga merupakan peringkat akhir pendidikan wajib atau Compulsory Education. Seterusnya, pelajar akan melengkapkan tiga tahun lagi di Sekolah Menengah Atas (Upper Secondary Schools) yang menawarkan pelbagai aliran seperti akademik dan vokasional sebelum melangkah terus ke Universiti. Menariknya, sistem ini tidak mempunyai peperiksaan berpusat yang setara dengan UPSR atau SPM, sebaliknya kualiti akademik dikawal selia melalui peperiksaan kemasukan universiti yang sangat kompetitif. Tempoh 12 tahun pendidikan rasmi yang menyeluruh ini membolehkan pelajar Jepun untuk terus masuk ke peringkat ijazah tanpa memerlukan program Pra-Universiti tambahan.

Transformasi sistem pendidikan di Malaysia yang diumumkan pada Januari 2026 dilihat mula mengadaptasi elemen-elemen positif daripada model Jepun ini bagi menangani isu tekanan akademik awal dan kekurangan disiplin diri dalam kalangan murid. Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan kemasukan ke Tahun 1 pada umur enam tahun adalah satu usaha merapatkan jurang literasi dengan standard antarabangsa. Selain itu, peralihan penilaian utama ke Tahun 4 berbanding Tahun 6 (seperti sistem lama) adalah berasaskan rasional bahawa Tahun 4 merupakan titik kritikal di mana murid beralih daripada fasa “belajar membaca” kepada “menggunakan bacaan untuk belajar”. Penilaian awal ini membolehkan intervensi yang lebih berkesan dilakukan sepanjang Tahun 5 dan Tahun 6 bagi memastikan murid benar-benar bersedia sebelum melangkah ke sekolah menengah.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan Tahun 1 pada usia enam tahun dan penilaian pada Tahun 4 ini membawa cabaran tersendiri yang perlu diatasi. Menurut analisis pakar, cabaran utama melibatkan kesiapsiagaan infrastruktur sekolah dan kemahiran tenaga pengajar untuk mengendalikan murid pada usia yang lebih muda tanpa memberi tekanan mental dan emosi yang keterlaluan. Adalah kritikal bagi Malaysia untuk memastikan persekitaran sekolah kekal kondusif dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan, selari dengan amalan di Jepun yang mementingkan kesejahteraan sosioemosi murid. Dengan sokongan padu daripada ibu bapa dan pelaksanaan yang sistematik, transformasi ini berpotensi besar untuk melahirkan generasi Malaysia yang bukan sahaja bijak intelek, malah mempunyai kekuatan karakter yang setaraf dengan modal insan di negara maju.

Penulis merupakan Dekan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), cawangan Kuala Lumpur, dengan bantuan Dr Farah Liana Mohd Redzuan (Pengurus Hubungan Luar & Global, MJIIT) dan Ts Dr Pramila Tamunaidu (Pengurus, Malaysia-Japan Linkages Office, MJIIT).

Read more on UTM Newshub