KUALA SELANGOR, 14 Feb – Semangat kekeluargaan dan kearifan tempatan menjadi tunjang utama Program DESA Fasa 1 yang berlangsung meriah di Kuala Selangor. Program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Siswa Jaya (KSJ) ini bertujuan mendedahkan peserta kepada gaya hidup masyarakat desa di samping mengekalkan tradisi rewangan yang semakin dilupakan.

Program Kenduri Menyambut Ramadan bersama pelajar KSJ berjaya memperkukuh ikatan ukhuwah antara warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan komuniti setempat menerusi aktiviti rewangan tradisi. Program ini turut diadakan bersempena perasmian Program Daerah Edukatif, STEM dan Aspirasi (DESA) @ Kuala Selangor yang dijadualkan berlangsung pada bulan April akan datang.

Program ini memfokuskan pemeliharaan warisan budaya melalui penyediaan Nasi Ambeng dan persiapan kenduri perdana. Usaha ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya matlamat membangunkan bandar dan komuniti yang mampan (SDG 11) serta memperkukuh perkongsian strategik dalam memartabatkan budaya dan kerjasama antara universiti dan komuniti (SDG 17).

Para peserta disambut mesra oleh penduduk kampung dalam majlis pembukaan ringkas sebagai simbolik permulaan aktiviti silaturahim

Peserta memulakan hari dengan sesi suai kenal bersama keluarga angkat dan penduduk setempat. Sambil menikmati sarapan pagi, interaksi dua hala ini berjaya merapatkan jurang antara mahasiswa dan masyarakat luar bandar, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang peka terhadap realiti sosial dan budaya masyarakat.

Para peserta lelaki dan wanita mengenakan Baju KSJ Merah serta berkopiah, dan bersama-sama memotong bahan mentah, memasak serta menghidangkan makanan mengikut kaedah tradisional

Kemuncak program ialah sesi rewangan atau gotong-royong menyediakan Nasi Ambeng. Para peserta lelaki dan wanita mengenakan Baju KSJ Merah serta berkopiah dan bersama-sama memotong bahan mentah, memasak serta menghidangkan makanan mengikut kaedah tradisional. Aktiviti ini bukan sekadar penyediaan makanan, malah menjadi medium pemindahan ilmu warisan daripada warga emas kampung kepada generasi muda, sekali gus menyokong usaha memperkasa pendidikan berkualiti berasaskan pengalaman komuniti (SDG 4).

Menjelang petang, suasana bertukar lebih formal namun kekal meriah. Peserta mengenakan baju Melayu lengkap berkopiah dan baju kurung bagi sesi persiapan kenduri. Kerjasama yang terjalin mencapai kemuncaknya dalam acara Kenduri Perdana Menyambut Ramadan apabila semua pihak berkumpul untuk berdoa dan menikmati juadah bersama dalam suasana harmoni dan penuh kesyukuran.

Sesi bergambar kenangan peserta bersama komuniti selepas selesai Program Kenduri Menyambut Ramadan di Kuala Selangor

Sepanjang program, pertandingan santai seperti membungkus Nasi Ambeng turut diadakan bagi memeriahkan suasana dan mengeratkan lagi hubungan sesama peserta dan komuniti. Program diakhiri dengan sesi gotong-royong membersihkan kawasan sebelum peserta bertolak pulang ke kampus.

Pelaksanaan program ini secara langsung menyokong usaha memperkukuh perkongsian antara universiti dan kepimpinan kampung melalui kolaborasi yang erat dan berterusan. Selain itu, program ini turut memupuk kesejahteraan mental dan sosial peserta melalui penglibatan dalam aktiviti luar bilik darjah yang santai namun bermakna.

Diharapkan Program Kenduri Menyambut Ramadan bersama pelajar Kolej Siswa Jaya ini dapat diteruskan sebagai platform berterusan bagi warga universiti menyumbang bakti serta menghayati khazanah budaya bangsa yang tinggi nilainya, sekali gus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti desa.

Read more on UTM Newshub