PULAU PANGKOR, 8 Feb – Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Kuala Lumpur menyertai Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) yang berlangsung pada 7 hingga 8 Februari 2026 sebagai usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat setempat melalui aktiviti berimpak tinggi.

Program ini merangkumi pelbagai inisiatif khidmat komuniti yang melibatkan servis motosikal, pemasangan sistem tenaga solar serta servis penyaman udara. Semua aktiviti ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan penduduk dan menyokong pembangunan mampan di Pulau Pangkor.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, yang menekankan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan dan pemangkin pembangunan sosial. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa dalam program komuniti bukan sahaja membina kemahiran teknikal, malah membentuk nilai kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program Komuniti MADANI Pulau Pangkor disempurnakan oleh Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia

Turut menyampaikan ucapan aluan ialah Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, yang merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan pihak universiti atas komitmen menjayakan program ini. Kehadiran Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, Naib Canselor UTM; Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) UTM, serta Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM, menyerlahkan sokongan padu pengurusan tertinggi universiti terhadap inisiatif pembangunan komuniti berasaskan pendidikan dan kemahiran.

Penghargaan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi melalui Naib Canselor UTM bagi penyertaan mahasiswa UTM Cawangan Kuala Lumpur

Salah satu projek utama yang dilaksanakan ialah pemasangan 17 unit lampu panel solar di beberapa lokasi strategik termasuk Kampung Teluk Gadong, Galeri Kelulut, laluan ke surau dan padang serta laluan pejalan kaki sekitar Pulau Pangkor. Projek ini bertujuan meningkatkan pencahayaan awam, mempertingkatkan tahap keselamatan komuniti dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebagai alternatif lestari.

Penerangan projek perkhidmatan teknikal servis motosikal kepada penduduk setempat oleh Radhir Sham

Selain itu, projek perkhidmatan teknikal servis motosikal diadakan di Arena dan Pusat Komuniti Kampung Masjid dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat. Memandangkan motosikal merupakan kenderaan utama bagi majoriti penduduk, perkhidmatan ini membantu mengurangkan kos penyelenggaraan, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta memberi peluang kepada mahasiswa mempraktikkan kemahiran teknikal secara langsung di lapangan.

Kerjasama erat mahasiswa dan komuniti ketika kerja pemasangan sistem solar dijalankan

Dalam masa yang sama, projek servis penyaman udara dijalankan di Surau Al Majid yang terletak berhampiran Kota Belanda, salah satu lokasi tumpuan pelancong di Pulau Pangkor. Penyelenggaraan sistem ini membantu meningkatkan keselesaan jemaah dan pengunjung, sekali gus menyokong kemudahan awam serta imej pelancongan setempat.

Surau Al Majid yang berhampiran Kota Belanda menjadi antara lokasi pelaksanaan servis penyaman udara

Secara keseluruhannya, penyertaan mahasiswa UTM Cawangan Kuala Lumpur dalam Program Pembangunan Komuniti MADANI Pulau Pangkor mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif menyumbang kepada masyarakat melalui pendekatan kesukarelawanan, inovasi dan tanggungjawab sosial.

Read more on UTM Newshub