JOHOR BAHRU, 23 Feb – Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Kelab Kebajikan dan Rekreasi ICC telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf di Kompleks Raudhatul Maryam, Taman Universiti bersempena 5 Ramadan 1447 Hijrah.
Program ini melibatkan seramai 22 orang anak yatim dan asnaf serta mendapat sokongan padu daripada staf dan alumni ICC yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam pemberian sumbangan serta pelaksanaan aktiviti.

Kompleks Raudhatul Maryam yang ditubuhkan pada tahun 2007 merupakan institusi kebajikan yang menyediakan perlindungan kepada anak yatim dan golongan asnaf di sekitar Johor Bahru. Pusat ini berperanan sebagai platform pembangunan sahsiah dan sokongan sosial kepada anak-anak yang memerlukan bantuan berterusan.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial ICC, sumbangan berbentuk barangan asas dan duit raya berjumlah RM2,625 telah disampaikan oleh Penaung Kelab Kebajikan dan Rekreasi ICC yang juga Pengarah ICC UTM, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh. Sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban kewangan serta menceriakan sambutan Ramadan dan Syawal anak-anak yang disantuni.
Majlis turut diisi dengan sesi penyampaian sumbangan, tazkirah ringkas, bacaan zikir munajat serta solat Maghrib berjemaah sebelum jamuan berbuka puasa. Suasana program berlangsung dalam penuh rasa syukur dan kebersamaan antara warga universiti dan komuniti setempat.

Inisiatif ini selari dengan aspirasi strategik UTM ASCEND 2030 yang menekankan pembangunan institusi berimpak dan berteraskan nilai. Program ini turut menyokong komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya matlamat membasmi kemiskinan melalui bantuan kewangan dan keperluan asas kepada golongan memerlukan (SDG 1), mengurangkan ketidaksamaan dengan memperkukuh sokongan sosial kepada anak yatim dan asnaf (SDG 10), serta memperkukuh kerjasama strategik antara universiti dan komuniti setempat (SDG 17).

Penganjuran program ini mencerminkan pendekatan holistik ICC dalam mendukung agenda ASCEND 2030 dengan mengimbangi kecemerlangan inovasi dan pengkomersialan bersama impak sosial yang mampan serta penglibatan aktif warga universiti dalam pembangunan komuniti.
Melalui inisiatif berterusan seperti ini, ICC terus memperkukuh peranan Universiti Teknologi Malaysia sebagai institusi yang bukan sahaja menjana ilmu dan mencipta nilai, malah memacu kesejahteraan masyarakat secara inklusif dan berterusan.

Oleh Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor, Ketua Biro Kerohanian, dan Muhammad Arif Harun, Pengerusi, Kelab Kebajikan dan Rekreasi ICC 2025/2026