CYBERJAYA, 11 Nov – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengadakan satu sesi perbincangan bagi merangka Memorandum Persefahaman (MoU) baharu antara kedua-dua pihak bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pengurusan sumber air dan mitigasi bencana.
Sesi tersebut melibatkan dua fakulti utama UTM iaitu Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA). Perbincangan dipengerusikan oleh Pengarah Kanan JPS, Ir. Hanizan Deraman, dan dimulakan dengan pembentangan status kerjasama sedia ada antara UTM dan JPS yang telah ditandatangani pada 27 Februari 2020 dan dijadual tamat pada 27 Februari 2025.

Antara bidang kerjasama terdahulu termasuklah hidrologi dan sumber air, pengurusan zon pantai, pengurusan lembangan sungai bersepadu, saliran bandar dan infrastruktur hijau lestari, serta pengurusan dan pengurangan risiko bencana bagi meningkatkan daya tahan komuniti.
Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan MoU tersebut, pelbagai hasil telah dicapai termasuk kajian mitigasi banjir, pengurusan tadahan air dan hidraulik, selain penganjuran International Conference on Water Resources (ICWR) yang menjadi platform utama perkongsian ilmu dalam bidang kejuruteraan air.

Pembentangan dari pihak UTM dimulakan oleh Dr. Noraliani Alias, Ketua Jabatan Kejuruteraan Air dan Alam Sekitar, FKA. Beliau berkongsi mengenai pelbagai program dan inisiatif yang telah dijalankan, antaranya penganjuran persidangan dari tahun 2009 hingga 2025, kursus jangka pendek seperti Kursus Sabo dan Kem Pimpinan Muda Prihatin Air, selain penerbitan dan penyelidikan bersama dengan JPS.
Cadangan kerjasama baharu daripada FKA turut dibentangkan yang meliputi perkongsian data hidrologi dan penerbitan, pelantikan penyelia bersama bagi pelajar pascasiswazah, kolaborasi penyelidikan serta program Sarjana Pesisir yang dicadangkan untuk dilaksanakan secara teradun, gabungan pembelajaran fizikal dan atas talian.
Timbalan Dekan Akademik FKA, Prof. Madya Dr. Hidayat Jamal, turut menekankan potensi pegawai JPS untuk berperanan sebagai penyelia bersama kepada pelajar UTM, sekali gus memperkukuh sinergi akademik dan industri antara kedua-dua institusi.
Pihak JPS dalam perbincangan turut membangkitkan isu peningkatan kes ban pecah di kawasan pantai serta keperluan meneliti aspek geoteknikal dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang terhadap permasalahan tersebut.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Aznah Nor Anuar, Timbalan Pengarah Disaster Preparedness and Prevention Centre (DPPC), MJIIT, turut membentangkan beberapa cadangan kerjasama baharu. Antaranya ialah penggunaan teknologi X-band radar, aplikasi alga dalam pengurusan cerun, pembangunan sistem amaran awal bencana serta pembinaan empangan sabo. Beliau turut memperkenalkan pelbagai kemudahan makmal yang terdapat di MJIIT seperti Makmal Risiko Bencana dan Multi Geohazard, Makmal Immersive Visualisation (IV), Makmal Mikrobiologi, dan Makmal Air yang berpotensi dimanfaatkan bersama.
Dr. Khamarrul Azahari Razak turut memaklumkan bahawa beberapa pegawai JPS kini sedang mengikuti program Sarjana Pengurusan Risiko Bencana dan menyambung pengajian di peringkat PhD di MJIIT, UTM Kuala Lumpur, bukti kepada jalinan kerjasama berterusan antara kedua-dua pihak.
Wakil MJIIT yang hadir termasuk Prof. Madya Dr. Aznah Nor Anuar, Prof. Madya Dr. Wan Nurul Mardiah Wan Rani, Dr. Khamarrul Azahari Razak, Dr. Nurul Zainab Along, Dr. Nooradilla Abu Hasan (Pensyarah Adjung DPPC) serta Muhammad Islah Sulaiman.
Sementara itu, wakil FKA terdiri daripada Prof. Madya Ir. Dr. Nor Eliza Alias, Dr. Ponselvi Jeevaragagam, Prof. Madya Dr. Hidayat Jamal, Dr. Noraliani Alias, dan Dr. Mohd Ridza Mohd Haniffah.
Perbincangan ini diharap dapat membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan tenaga pakar tempatan yang mampu menyumbang kepada pengurusan sumber air dan mitigasi bencana negara secara mampan.