+6 03 2203 1517 mjiit@utm.my
Select Page

YAN, 20 Ogos – Program Pengurangan Risiko Bencana Geologi Aliran Puing Dipacu Komuniti (Community-led Disaster Risk Reduction, CLDRR) telah diadakan di sekitar kawasan Jerai Geopark sebagai memperingati kejadian bencana geologi aliran puing di kawasan Jerai Geopark, Yan, Kedah dua tahun lalu.

Program anjuran Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia dan Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM mendapat kerjasama  Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah dan Tanah Yan dan sokongan pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah, badan-badan profesional, dan organisasi bukan kerajaan.

Kerjasama strategik ini sebagai satu langkah menyokong komitmen kerajaan menerusi NADMA Malaysia terhadap pencapaian sasaran global seperti termaktub pada UNDRR Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 (SFDRR 2015-2030).

Program CLDRR ini merupakan inisiatif unik dan anjakan baru dalam memartabatkan program pemerkasaan komuniti yang biasanya dikenali sebagai Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (Community-based Disaster Risk Management, CBDRM) yang secara tidak langsung mengangkat peranan penting komuniti dan sumbangan utama mereka dalam menterjemahkan agenda pengurangan risiko bencana di peringkat setempat.

Selain menerokai aspek ancaman bahaya baru muncul ia juga memperlihat risiko sistemik ke arah menyokong agenda global dan aspirasi negara untuk pengurangan risiko bencana menerusi agenda pembangunan sistem amaran awal dan penyebaran maklumat risiko bencana.

Ketua Pengarah JMG, YBhg. Datuk Haji Zamri bin Ramli dalam ucapan perasmiannya berkata, untuk julung kalinya, program CLDRR dipacu oleh komuniti rentan dalam menyokong pembangunan strategik pengurangan risiko dan daya tahan setempat.

Program CLDRR ini juga sebahagian daripada pelaksanaan Projek Perintis Pembangunan Sistem Amaran Awal dan Pemantauan Bencana Geologi Aliran Puing dan Tanah Runtuh di Kawasan Gunung Jerai, Kedah 2022-2023; yang mana merupakan salah satu usaha kerajaan dalam pengurangan risiko bencana geologi berasaskan penggunaan teknologi termaju dan pengukuhan daya tahan komuniti setempat. Melalui projek perintis tersebut, pembangunan Model DRR Yan telah dibangunkan secara bersepadu dan dirakamkan dalam pelaporan separuh penggal oleh kerajaan Malaysia pada High-Level Meeting (HLM) Mid-Term Review SFDRR 2015-2030 oleh pihak NADMA Malaysia pada 18-19 Mei 2023 di New York.

Program ini dirangka dalam menyokong pelaksanaan aktiviti-aktiviti berteraskan komuniti untuk melengkapkan implementasi fasa dua projek perintis pembangunan sistem amaran awal bencana geologi aliran puing di kawasan Gunung Jerai berasaskan objektif utama seperti berikut:

  1. Memperkasakan tahap kesiapsiagaan komuniti setempat berasaskan kepada pemakaian sistem amaran awal (EWS) bencana geologi aliran puing,
  2. Mengukuhkan kapasiti jaguh setempat dalam pemakaian, pengendalian, pemantauan, dan penyelengaraan sistem amaran awal bencana geologi aliran puing,
  3. Menerokai aspek pengintegrasian EWS dan Sistem Amaran Awam (PWS), serta penyaluran data EWS kepada pihak berkuasa tempatan pengurusan risiko bencana;
  4. Merangka sistem komunikasi risiko setempat dalam menyokong pembangunan strategik pengurangan risiko dan daya tahan setempat;
  5. Mengukuhkan tahap pendidikan bencana kepada para pelajar terpilih dari sekolah angkat JMG, mempromosikan Rakan JMG dan penglibatan agensi setempat, dan
  6. Membangunkan Resilience Living Lab Yan 2023 bagi menyediakan platform rentas sektor dalam memperhebatkan agenda pengurangan risiko bencana dan pengukuhan daya tahan

Penganjuran program rentas sektor dan berakar umbi masyarakat bertujuan untuk membina kapasiti daya tahan setempat, mendekatkan universiti dengan masyarakat menerusi adaptasi teknologi dan penyelesaian solusi berasaskan alam, serta mengukuhkan tahap kesiapsiagaan komuniti dan pemulihan berdaya tahan menerusi pembangunan Resilience Living Lab Yan 2023 ke arah mengangkat pelaksanaan strategi pengurangan risiko bencana setempat.

Pelancaran Resilience Living Lab Yan 2023 merupakan Living Lab kedua di Malaysia selepas Resilience Living Lab Hulu Langat yang dilancarkan oleh MERCY Malaysia pada Mei 2023 yang lalu. Melalui Program CLDRR dapat melihat komitmen setiap individu terhadap UNDRR Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030.